Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247 2022 dilancar di M’sia – RM344k tanpa SST, CKD, 306 PS/400 Nm, AWD


Serentak dengan pengenalan sedan prestasi Mercedes-AMG A 35 Sedan V177 versi pemasangan tempatan (CKD) hari ini, jenama premium dari Jerman berkenaan turut melancarkan sekali kembarnya dalam versi crossover iaitu Mercedes-AMG GLA35 4Matic H247, juga dalam versi CKD.

Untuk mereka yang menempah model CKD ini sebelum 30 Jun 2022, ia dijual pada harga RM343,888 kerana masih menerima insentif pengecualian cukai jualan dan servis (SST). Manakala bermula 1 Julai, Mercedes-AMG GLA 35 ini dijual pada harga RM363,888. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan diberikan waranti selama empat tahun tanpa had perbatuan.

Seperti model 35 lain, GLA 35 ini menerima enjin M260 2.0 liter empat silinder petrol turbo yang menghasilkan kuasa 306 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 3,000 rpm hingga 4,000 rpm.

Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda dengan sistem pacuan semua roda Mercedes 4Matic. Ini membolehkan GLA 35 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

Model ini juga menerima kelengkapan AMG lain, termasuk mod pemanduan AMG Dynamics yang dihubungkan pada sistem ESP, dengan dua pilihan iaitu Basic dan Advances. Lima mod disediakan dalam AMG Dynamics ini iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ serta mod yang boleh anda olah sendiri iaitu Individual.

Sistem ekzos AMG turut dilengkapkan pada model ini yang memberikan bunyi berbeza bergantung mod pemanduan yang anda pilih, bermula dengan discreet (Slippery, Comfort and Sport) hingga emotive (Sport+).

Kotak gear DCT pada AMG GLA 35 ini diberikan fungsi Race-Start. Jika anda mahukan corak pemanduan yang lebih liar tetapi masih mahu bantuan komputer untuk mengawal kestabilan kenderaan, anda boleh memilih mod Sport Handling pada sistem ESP.

Berbanding model GLA standard, kerangka badan AMG GLA 35 ini dihasilkan dengan lebih tegar menerusi pemadanan plat aluminium di bawah enjin, serta dua pendakap tambahan pada bahagian bawah sebelah hadapan.

Topang McPherson pada GLA AMG 35 ini turut ditala semula bagi mengurangkan olengan badan, membolehkan anda membelasahnya di selekoh dengan kelajuan lebih tinggi. Sistem suspensi dengan penyerap hentak adaptif AMG Ride Control dibekalkan secara standard untuk model pasaran Malaysia ini

Sistem brek pada model ini juga adalah lebih baik dari versi standard, di mana ia dipadankan cakera berliang 350 mm dan angkup empat omboh di hadapan, bersama cakera 330 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.

Bahagian luaran dan dalaman AMG GLA 35 ini diberikan imej lebih garang berbanding model GLA 200. Ia menerima pakej penggayaan luar AMG Line bersama gril hadapan AMG. Di belakang, model ini dibezakan dengan bampar bersama diffuser lebih agresif, yang turut menempatkan dua tip ekzos berbentuk bulat, dan juga spoiler bumbung lebih besar.

Model pasaran Malaysia ini datang dengan set rim aloi ringan AMG 20-inch lima-jejari berkembar dalam kemasan hitam matte. Perincian luaran lain yang turut dibekalkan termasuk lampu hadapan Multibeam LED bersama Adaptive Highbeam Assist Plus, cermin sisi elektrik sepenuhnya, rel bumbng aluminium digilap dan lampu sekeliling yang memancarkan logo Mercedes-Benz. Enam warna badan ditawarkan termasuk Polar White, Cosmos Black, Iridium Silver, Mountain Grey dan Denim Blue.

Pada bahagian dalaman, model ini diberikan pilihan upholsteri kulit sintetik Artico atau gentian mikro Dinamica bersama perapi-perapi elemen struktur-karbon. Tempat duduk hadapan boleh dilaras secara elektrik dengan fungsi memori, manakala tali pinggang keledar Manufaktur berwarna merah turut diberikan secara standard.

Ia juga datang standard dengan roda stereng rata di bawah AMG Performance balutan kulit Nappa, yang diberikan dua butang dan suis putar yang boleh digunakan bagi menetapkan pilihan sistem AMG Dynamic Select, menawarkan pilihan talaan mod pemanduan Slippery, Comfort, Sport, Sport + dan Individual.

Bahagian kabin sedan ini turut menyerupai model hatchback dengan paparan instrumen digital sepenuhnya Widescreen Cockpit yang terdiri dari dua buah skrin yang masing-masing bersaiz 10.25-inci serta sistem perantara baharu Mercedes-Benz User Experience (MBUX) menggunakan arahan suara ‘Hey, Mercedes’.

Ia dihubungkan kepada sistem bunyi surround Burmester bersama modul komunikasi terkini (LTE) bagi membolehkan fungsi servis terhubung Mercedes me beroperasi, iaitu salah satu perincian dalam sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz.

Perincian lain yang dibekalkan pada crossover prestasi ini termasuk tempat duduk belakang yang boleh dilipat, sistem pendingin hawa automatik Thermotronic. Pakej Light & Sight juga diberi secara standard menampilkan lampu suasana 64-warna serta cermin pandang belakang dan cermin sisi sebelah pemandu auto-malap.

Kabin GLA 35 ini turut menampilkan skrip AMG yang menyala bersama penutup yang boleh ditukar, karpet kaki AMG, serta ruang storan pada konsol tengah dengan penutup yang boleh disorokkan.

Untuk keselamatan, Mercedes-AMG GLA 35 4Matic ini dibekalkan dengan pakej parkir dengan kamera 360-darjah, Active Parking Assist with Parktronic, Lane Tracking Package, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Exit Warning Assist, dan Active Brake Assist.

Fungsi keselamatan pasif ditambah dengan beg udara untuk bahagian lutut, penunjuk pemakaian tali pinggang keledar untuk tempat duduk belakang serta sistem pemantau tekanan angin tayar Tirefit.

Pakej Keyless-Go Comfort juga diberikan menampilkan fungsi Hands-Free Access dengan Keyless-Go, serta pintu tailgate belakang boleh diakses dengan mudah dengan dibekalkan Easy-Pack Tailgate. Ia juga datang dengan pakej perlindungan kenderaan Urban Guard, menampilkan sistem penggera anti-kecurian serta sistem pemantau dalam kabin yang boleh dilihat menerusi aplikasi Mercedes me.





Source link

Denial of responsibility! galaxyconcerns is an automatic aggregator around the global media. All the content are available free on Internet. We have just arranged it in one platform for educational purpose only. In each content, the hyperlink to the primary source is specified. All trademarks belong to their rightful owners, all materials to their authors. If you are the owner of the content and do not want us to publish your materials on our website, please contact us by email – [email protected]. The content will be deleted within 24 hours.

Leave A Reply

Your email address will not be published.