Hyundai Creta facelift 2022 dijumpai di Malaysia – SUV segmen-B 1.5L NA, mungkin akan dilancar di sini?


Sehingga kini tiada sebarang desas-desus dari pengedar Hyundai di Malaysia iaitu Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) berkenaan untuk membawa SUV segmen-B, Hyundai Creta facelift 2022 yang telah dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu ke pasaran tempatan. Namun pembaca paultan.org, JJ Chang telah ternampak SUV tersebut di Malaysia dan berkongsi gambar unit berkenaan di media sosial.

Tidak dinyatakan di mana ia dijumpai, namun menerusi latar belakang imej berkenaan, ia mungkin di Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Creta facelift tersebut tidak menggunakan nombor plat perdagangan, tetapi mengenakan nombor plat Malaysia sebenar. Logo Hyundai tidak disembunyikan pada bahagian hadapan, sebaliknnya di belakang, logo ‘H senget’ dan juga perkataan ‘CRETA’ pada pintu hatch disorok dengan pita pelekat.

Kami turut terus bertanyakan pihak HSDM berkenaan unit yang dijumpai ini, tetapi syarikat berkenaan enggan memberikan sebarang komen. Namun melihat unit yang telah pun menerima nombor pendaftaran dan sudah tentu telah menerima kelulusan VTA dari JPJ, HSDM tentu ada sesuatu yang dirancang untuk SUV ini di Malaysia.

Sekiranya Creta di bawa ke pasaran tempatan, ia akan berada di bawah satu tangga berbanding satu lagi SUV segmen-B Hyundai iaitu Kona. Creta kini dipasang di Indonesia, dan dengan jumlah jualan yang tidak tinggi, mungkin ia akan diimport dari sana mengambil manfaat dari Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN bagi mendapatkan potongan cukai.

Walau bagaimanapun, ianya sudah tentu tidak boleh dijual dengan harga serendah Perodua Ativa, dan dalam masa yang sama kelengkapan yang dibekalkan adalah lebih rendah dari SUV segmen-B Perodua berkenaan. Buat masa sekarang, Creta yang dipasang di Indonesia tersebut sudah pun diimport ke Thailand, dan dijual pada harga 949,000 baht (RM115,749) sehingga 999,000 baht (RM121,848).

Walaupun saiznya kelihatan hampir sama seperti Ativa, Creta sebenarnya lebih besar. Creta diasaskan dari platform yang sama dengan Kia Seltos. Ia dihasilkan dengan dimensi 4,315 mm panjang dan 1,790 mm lebar, atau 250 mm lebih panjang dan 80 mm lebih lebar berbanding Perodua Ativa. Jarak roda Creta juga lebih panjang dengan ukuran 2,610 mm, atau 85 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-B Perodua berkenaan.

Creta sememanngnya dihasilkan untuk pasaran seperti India dan Asia Tenggara, tidak seperti Kona yang memang disasarkan untuk pasaran Eropah. Namun Creta masih menerima muka dengan rekaan gril Parametric Jewel seperti Tucson, menampilkan lampu nyalaan siang LED yang kelihatan seperti sebahagian dari gril. Lampu utamanya pula berada pada bampar, dan turut diberikan teknologi LED.

SUV ini tidak diberikan bumbung berwarna hitam, tetapi kemasan berwarna perak yang diberikan bermula pada bahagian atas tingkap pintu hadapan sehingga tiang-C di belakang tetap memberikan imej seakan “bumbung terapung”. Manakala pada kabin, papan pemuka Creta ini turut menerima ‘perisa’ yang sama seperti Tucson dengan rekaan ala-air terjun pada papan pemuka.

Di Thailand, Creta menerima kelengkapan seperti skrin infotainmen 8.0-inci, paparan instrumen 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, pendingin hawa automatik dengan penghembus kabin belakang. Manakala dua varian paling tinggi diberikan lampu dalaman dan lampu suasana LED dan juga bumbung panaromik.

Ia juga menerima sistem keselamatan yang agak baik termasuk enam-beg udara serta pakej bantuan pemanduan Hyundai SmartSense dengan fungsi termasuk amaran buka pintu.

Creta dijana enjin 1.5 liter tanpa bantuan turbo yang menghasilkan 115 PS pada takat 6,300 rpm dan tork maksima 144 Nm pada 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear Intelligent Variable Transmission (iVT), iaitu transmisi CVT Hyundai yang menggunakan rantai bagi menggantikan tali sawat metalik. Di India dan Indonesia, Creta turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Tiada pilihan sistem AWD pada SUV ini, semuanya adalah pacuan roda hadapan.

Nak bersaing dengan Perodua Ativa atau Proton X50 memang dilihat mustahil. Mungkin ada yang melihat Creta ini sebagai alternatif untuk Honda HR-V varian paling rendah dengan enjin 1.5L NA yang dijual pada harga RM114,800?

GALERI: Hyundai Creta facelift pasaran Indonesia





Source link

Denial of responsibility! galaxyconcerns is an automatic aggregator around the global media. All the content are available free on Internet. We have just arranged it in one platform for educational purpose only. In each content, the hyperlink to the primary source is specified. All trademarks belong to their rightful owners, all materials to their authors. If you are the owner of the content and do not want us to publish your materials on our website, please contact us by email – [email protected]. The content will be deleted within 24 hours.

Leave A Reply

Your email address will not be published.